SUKAN

KBS Peruntuk RM10 Juta Perkasa Program Podium Para Tahun Depan

11/12/2025 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperuntukkan  RM10 juta bagi Program Podium Para tahun depan, merangkumi komponen bantuan, penyertaan serta persiapan atlet menghadapi kejohanan dalam dan luar negara.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata peruntukan berkenaan bagi menyokong penyertaan atlet para dalam 36 kejohanan antarabangsa dan 34 kejohanan peringkat domestik sepanjang tahun mendatang, yang berada di bawah program berprestasi tinggi itu.

Beliau berkata sejak kebelakangan ini, trend semasa turut menunjukkan peningkatan ketara penyertaan atlet para dalam aktiviti sukan termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA), yang memperlihatkan Sarawak menjadi contoh negeri yang giat melabur dalam pembangunan sukan berkenaan.

“Berdasarkan rekod Para SUKMA 2024 di Sarawak, sebanyak 1,265 atlet para bertanding mewakili seluruh negara dengan kontinjen tuan rumah mencatat penyertaan tertinggi iaitu melibatkan 213 atlet.

“Jadi jika dibandingkan Para SUKMA 2022 dan 2024, terdapat peningkatan sebanyak 64 peratus atlet para yang mengambil bahagian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Isaiah Jacob yang ingin tahu peruntukan diberikan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam sukan antarabangsa dan domestik bagi 2026.

Hannah berkata sejak tahun lepas, Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengambil alih pengurusan persediaan atlet para, menggantikan peranan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPSN) negeri serta Majlis Sukan Negeri.

Beliau berkata pengambilalihan itu memandangkan atlet para yang berada dalam program berprestasi tinggi memerlukan pendekatan pembangunan serta latihan setaraf sukan kompetitif antarabangsa, manakala JPSN boleh memberi tumpuan kepada sukan sebagai elemen kesejahteraan dan gaya hidup OKU.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501279