AM

Jurukimpal Maut Dihempap Bakul Besi Jentera Pengorek

11/12/2025 04:40 PM

KUALA NERUS, 11 Dis (Bernama) -- Seorang jurukimpal maut akibat dihempap bakul besi jentera pengorek di tapak pembinaan pemecah ombak pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata kejadian pada 9.48 pagi berlaku semasa Mohd Rosli Awang, 54, dari Kampung Alur Limbat, Marang melakukan kerja memateri besi penyambung bakul besi kepada jentera pengorek untuk kerja pembinaan.

“Bagaimanapun bakul besi itu tiba-tiba terbalik dan menghempap belakang mangsa. Rakan sekerjanya bergegas mengalihkan bakul berkenaan menggunakan jentera pengorek.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Klinik Kesihatan Batu Rakit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin untuk bedah siasat dan tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501395