SUKAN

KHM Yakin Skuad Hoki Tuai Enam Emas Pada Sukan SEA 2027 Di Malaysia - Subahan

12/12/2025 10:51 AM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yakin skuad negara berpotensi memenangi enam pingat emas apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027, hasil pelaksanaan program pendedahan intensif yang dijalankan merangkumi skuad lelaki dan wanita di pelbagai peringkat usia termasuk Bawah 18 Tahun (B-18).

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata sasaran enam emas itu merangkumi acara hoki padang lelaki dan wanita, hoki dalam dewan lelaki serta hoki lima sebelah (5s) lelaki selain turut disasarkan menerusi acara hoki 5s wanita dan hoki dalam dewan wanita.

“Kami berjanji akan memastikan Malaysia mampu mendapatkan enam emas pada Sukan SEA di sini dua tahun lagi.

“Tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh mencapai sasaran itu berdasarkan perkembangan yang dilihat sekarang,” katanya pada sidang media KHM sempena Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) mengenai pasukan B-18 lelaki dan wanita di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau berkata perancangan dua tahun itu melibatkan program pendedahan luar negara termasuk misi skuad remaja lelaki dan wanita B-18 ke Perth, Australia minggu ini sebelum meneruskan siri perlawanan serta latihan tambahan di Afrika Selatan, Amsterdam dan New Zealand.

“Kami mahu kesinambungan pembangunan pemain. Mereka tidak akan dibiarkan terhenti selepas kejohanan besar.

“Kami simpan pemain-pemain ini untuk tempoh dua tahun kerana kami mahu mereka matang pada masa Malaysia menjadi tuan rumah nanti,” katanya.

Subahan turut memaklumkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyalurkan bantuan kewangan bagi menyokong NHDP untuk tempoh dua tahun akan datang, sekali gus memastikan persiapan skuad remaja dan senior negara berjalan lancar.

Beliau berkata pembangunan pasukan wanita juga akan diberi tumpuan khusus agar mereka mampu memberikan saingan lebih kuat kepada Thailand yang ketika ini dianggap sebagai pencabar utama di peringkat serantau.

Mengulas prestasi skuad hoki 5s lelaki negara yang meraih pingat emas pertama kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand semalam, beliau berkata kejayaan itu menjadi titik tolak penting untuk memastikan sukan hoki 5s terus mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya.

Skuad hoki 5s lelaki negara menumpaskan Indonesia 7-3 dalam aksi final untuk mencatat sejarah baharu buat Malaysia apabila acara hoki 5s dipertandingkan buat julung kalinya pada temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, hasrat skuad wanita negara untuk mengikut jejak langkah skuad lelaki tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada Thailand 1-7 pada perlawanan akhir, sekali gus meraih pingat perak.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501480