JENAYAH & MAHKAMAH

Gerakan Kultus Menyimpang Dari Korea Selatan Dipantau Polis - Saifuddin

13/12/2025 02:03 PM

KULIM, 13 Dis (Bernama) -- Gerakan kultus menyimpang dari Korea Selatan yang dikatakan aktif di negara ini berada dalam radar pemantauan pihak polis, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, beliau berkata kegiatan itu didapati tidak sampai ke tahap yang disifatkan boleh mengancam keselamatan negara.

“Saya telah diberi taklimat oleh pihak Cawangan Khas tentang pertubuhan itu, corak kegiatannya, penglibatan tokoh tempatan dan sebagainya.

“Jadi, fakta nombor satu ialah sememangnya gerakan ini berada dalam radar pasukan keselamatan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembali ke Sekolah 2025 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas siasatan terhadap dakwaan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mendedahkan kewujudan satu gerakan kultus dari Korea Selatan yang menyimpang dan didakwa sedang aktif di negara ini.

Saifuddin Nasution berkata kegiatan gerakan itu didapati hadir dalam bentuk umum yang sekilas pandang tidak kelihatan mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata bagaimanapun, pemantauan berterusan oleh pihak polis tetap dilakukan bagi mengesan sebarang aktiviti yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Jadi, barangkali kerana penampilannya begitu, maka penglibatan kehadiran beberapa tokoh politik itu berlaku …  buat masa ini, kenyataan yang disebut oleh Dr MAZA (Mohd Asri Zainul Abidin) itu sememangnya organisasi tersebut berada dalam makluman pihak keselamatan kita,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502306