PUTRAJAYA, 11 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) bagi menggerakkan pelaksanaan program Food Bank Siswa di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan hari ini berkata GPS sebagai wakil suara mahasiswa akan memainkan peranan lebih aktif dalam memperluas program berkenaan, terutama di IPT yang masih belum melaksanakannya.
Beliau berkata setakat ini, terdapat 195 GPS di IPT awam dan swasta, kolej universiti, kolej komuniti serta institut pendidikan guru (IPG).
“Pada masa sama, KPDN juga akan memperkukuh peranan GPS sebagai antara pemegang taruh dalam menggerakkan kefungsian KPDN, iaitu agenda menangani isu kos sara hidup.
“Selain berperanan dalam aspek konsumerisme, GPS akan memainkan peranan lebih aktif untuk menggerakkan program Food Bank Siswa,” katanya.
Armizan berkata KPDN melalui Sekretariat Food Bank Malaysia telah melaksanakan program Food Bank Siswa sejak 2019 dalam usaha membantu mahasiswa mendapatkan bekalan makanan.
Antara matlamat utama program itu adalah melibatkan komponen penyelamatan makanan dan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Melalui program Food Bank Siswa yang diselaraskan oleh KPDN, sebanyak 32 IPT dari seluruh negara terlibat merangkumi institusi awam dan swasta, IPG dan politeknik.
Beliau berkata sehingga 31 Okt lepas, Food Bank Siswa telah menerima sumbangan daripada 148 entiti seperti pemain industri pembuatan dan pengeluaran makanan, peruncit, rangkaian hotel dan badan bukan kerajaan serta telah memberi manfaat kepada 51,200 mahasiswa yang memerlukan.
Armizan berkata resolusi yang dikumpulkan semasa Konvensyen Food Bank Malaysia 2025 yang diadakan pada 8 dan 9 Dis lepas akan dijadikan input oleh KPDN bagi menyediakan Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan 2026-2030.
“Selain komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan, pelan ini adalah transformasi Program Food Bank Malaysia sebagai antara strategi menggerakkan Tonggak Keempat Rancangan Malaysia Ke-13, iaitu Mempertingkatkan Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam Sekitar,” katanya.
-- BERNAMA