AM

Program Jualan Rahmah MADANI Intervensi Berkesan Bantu Rakyat - Armizan

05/12/2025 09:58 PM

PUTRAJAYA, 5 Dis (Bernama) -- Sebanyak 23,030 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) telah dilaksanakan setakat 30 Nov lepas dan terbukti menjadi antara intervensi kerajaan yang berkesan membantu rakyat dalam isu kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dalam tempoh tiga tahun Kerajaan MADANI, pemerkasaan PJRM dilaksanakan secara konsisten, melibatkan penambahan peruntukan saban tahun dan peluasan pelaksanaan meliputi 222 Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 40 zon di Wilayah Persekutuan.

“Melalui tawaran diskaun 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, PJRM terus mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat. Pada tahun 2023, sebanyak 6,870 PJRM telah berjaya diadakan dan jumlah ini meningkat kepada 12,419 siri pada tahun 2024. 

“Sehingga 30 Nov 2025, sebanyak 23,030 PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara. KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) akan meneruskan inisiatif PJRM sepanjang tahun 2026 dan akan komited memperkasakan pelaksanaan inisiatif ini agar manfaatnya dapat dirasai secara lebih meluas oleh semua lapisan rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Armizan berkata bermula Julai 2025, KPDN juga terus meningkatkan kekerapan penganjuran PJRM dengan minimum kekerapan dua kali sebulan bagi setiap DUN.

Ia juga melibatkan penambahan jumlah unit penyimpanan stok dan penglibatan lebih ramai rakan strategik peruncitan di seluruh negara.

Takwim PJRM juga diperkenalkan bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat penganjuran di kawasan berhampiran dan boleh diakses menerusi laman web KPDN di https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

Terdahulu, Armizan turut meluangkan masa meninjau pelaksanaan PJRM yang diadakan bersempena Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang membuka tirainya hari ini di Putrajaya.

PJRM terletak di Zon G, antara lain menjual barangan kering, sejuk beku, kelengkapan sekolah dan peralatan sukan pada harga mampu milik.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran sekitar 300,000 pengunjung dan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM), yang menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499381