PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Kejatuhan Harga Minyak Kacang Soya

12/12/2025 09:44 PM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat, sejajar dengan kejatuhan harga minyak kacang soya, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS juga melemahkan sentimen, yang boleh mengekang permintaan tambahan untuk minyak sawit.

“Kami mendapati paras sokongan pada sekitar RM3,950 satu tan dan paras rintangan pada RM4,150 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2025 susut RM30 kepada RM3,980 satu tan, Januari 2026 berkurang RM43 kepada RM4,003 satu tan dan Februari 2026 merosot RM45 kepada RM4,018 satu tan.

Kontrak Mac 2026 menurun RM46 kepada RM4,028 satu tan, April 2026 susut RM48 kepada RM4,035 satu tan, manakala kontrak Mei 2026 merosot RM49 kepada RM4,034 satu tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 90,282 lot daripada 99,894 lot semalam, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 263,277 kontrak daripada 267,153 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan susut RM30 kepada RM4,030 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502200