Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Jaguh baling tukul besi negara Grace Wong Xiu Mei menampilkan aksi luar biasa apabila memenangi pingat emas dan membaharui rekod temasya sebanyak empat kali dalam satu pertandingan pada aksi Sukan SEA Thailand 2025, di sini hari ini.
Dalam saingan di Stadium Suphachalasai, Grace memulakan aksi dengan balingan sejauh 63.34 meter (m) untuk memadam rekod temasya miliknya 61.87m yang dicipta pada edisi 2023 di Kemboja.
Atlet kelahiran Sarawak itu kemudian mencipta rekod baharu temasya dan memadam rekod kebangsaan 63.53m yang dilakukannya pada kejohanan Olahraga Malaysia di Kangar, Perlis, Ogos lepas setelah melakukan 63.83m dalam balingan kedua.
Percubaan ketiga beliau menghadiahkan satu lagi rekod temasya dan kebangsaan dengan catatan 65.09m sebelum Grace melengkapkan dominasi dengan lontaran keempat 65.41m untuk sekali lagi membaharui kedua-dua rekod itu dan membantunya mengesahkan kilauan emas.
Beliau menutup dua lagi balingan dengan catatan 64.01m dan 64.42m, menjadikan keseluruhan empat rekod temasya dan tiga rekod kebangsaan berjaya diperbaharu dalam tempoh kurang sejam saingan, selain menghadiahkan emas pertama buat kem olahraga di sini.
Sementara itu, pingat perak menjadi milik wakil Thailand Koomphon Mingkamon dengan lontaran 60.74m sementara rakan senegaranya Kaewasuksri Sawitree meraih gangsa selepas mencatat 56.27m.
Sebagai rekod, kemenangan ini merupakan emas keempat Grace dalam acara baling tukul besi pada Sukan SEA selepas meraihnya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja.
-- BERNAMA