SUKAN

Sukan SEA: Sharul Aimy Puas Tukar Warna Pingat, Kang Xian Sukar Gambar Perasaan

12/12/2025 08:43 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 12 Dis (Bernama) -- Selepas tiga kali memenangi gangsa di Sukan SEA, gimnas lelaki negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam, mengakui berasa amat puas dapat menggenggam emas sulung pada temasya sukan dwitahunan edisi 2025 di Pathum Thani, hari ini.

Sharul Aimy membawa pulang emas dalam acara melombol lelaki dengan catatan 13.833 mata pada aksi final di Gimnasium 5, Universiti Thammasat, Kampus Rangsit.

Katanya, kejayaan rakan sepasukannya, Luqman Al Hafiz Zulfa, yang memenangi pingat perak dalam senaman lantai lelaki semalam selepas merangkul gangsa palang tunggal pada edisi lepas di Kemboja, menyemarakkan semangatnya untuk menamatkan cabaran di kedudukan lebih tinggi kali ini.

“Saya memang sangat gembira melihat rakan-rakan lain seperti Luqman berjaya menukar warna pingat. Saya pula berjaya menukar daripada gangsa kepada emas.

“Saya harap kejayaan hari ini mampu menjadi motivasi untuk cuba menukar warna pingat di Sukan Asia tahun depan dan menampilkan prestasi lebih baik pada Sukan Komanwel 2026, kerana sebelum ini saya hanya finalis di Birmingham 2022,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu menafikan cabaran pesaing terdekat John Ivan Cruz dari Filipina yang mengumpul 13.817 mata untuk pingat perak, manakala wakil tuan rumah Tikumporn Surintornta merangkul gangsa dengan 13.717 mata.

Sementara itu, Yeap Kang Xian, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas memenangi emas batang titian dengan 13 mata, mengatasi pencabar dari Singapura Amanda Yap yang meraih perak (12.733 mata) dan Aleah Finnegan dari Filipina membawa pulang gangsa (12.467 mata).

“Saya sangat gembira. Terima kasih kepada Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang banyak membantu serta memberi sokongan sepanjang masa,” katanya.

Kontinjen gimnastik artistik negara menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan meraih tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Disember melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502134