SUKAN

Sukan SEA 2025: Jonah Sambar Emas, Cipta Rekod Baharu Temasya

13/12/2025 08:47 PM

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Jaguh lontar peluru lelaki negara Jonah Chang Rigan berada dalam kelas tersendiri selepas menyambar pingat emas dan memecahkan rekod temasya pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Suphachalasai di sini malam ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu mengesahkan kilauan emas selepas melakukan lontaran sejauh 18.78 meter (m) dalam percubaan ketiga sekali gus memadam rekod temasya 18.38m milik atlet Filipina William III Edward Morrison yang dicipta pada edisi 2019 di Filipina.

Catatan dilakukan beliau yang membuat penampilan kedua di Sukan SEA itu juga memadam rekod kebangsaan miliknya 18.46m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang tahun lepas.

Pingat perak acara itu diraih atlet tuan rumah Silamool Thongchai dengan lontaran 16.80m sementara gangsa menjadi milik Morrison.

Kejayaan Jonah meraih emas menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu berjaya memperbaiki pencapaian tempat keempat pada debut Sukan SEA di Kemboja dua tahun lepas.

Ia merupakan emas ketiga kem olahraga negara selepas Grace Wong Xiu Mei dan Nani Sahirah Maryata masing-masing memenangi emas baling tukul besi wanita dan lontar peluru wanita.

Sementara itu, Ng Jing Xuan merangkul pingat perak dalam acara merejam lembing dengan lontaran yang memecahkan rekod kebangsaan.

Atlet Thailand menggondol pingat emas dengan lontaran sejauh 55.64m manakala Jing Xuan di tempat kedua dengan catatan peribadi terbaik 52.17m sekali gus mencipta rekod kebangsaan baharu.

Jing Xuan memadam rekod kebangsaan 49.34m yang sebelum ini dipegang oleh Siti Nur Nadiah Othman.

Gangsa milik Espenilla Ana Bhianca dari Filipina dengan lontaran sejauh 51.66m.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502454