AM

Bomba Di Peringkat Akhir Lengkapkan Siasatan Kebakaran Dua Maut

13/12/2025 09:06 PM

BUTTERWORTH, 13 Dis (Bernama) -- Pihak bomba di peringkat akhir menyiapkan laporan siasatan berhubung insiden kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar di sini Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya percaya laporan itu termasuk ujian makmal yang dijalankan dapat disiapkan dalam masa terdekat, dan seterusnya diserahkan kepada polis.

"Kita akan serahkan semua bukti dan juga laporan forensik kebakaran bersama dengan ujian makmal kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Saya tidak boleh maklumkan sama ada wujud unsur jenayah dalam kejadian itu ataupun sebaliknya," kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

Insiden itu menyaksikan Hayani Yaakob, 50-an, dan kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Andra, 5, rentung selepas terperangkap di dalam rumah mereka manakala anak lelakinya, Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an, cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail pula berkata pihaknya kini menunggu laporan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat yang telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas.

Beliau berkata polis juga menyelaraskan siasatan bersama dengan pihak bomba termasuk menunggu laporan forensik kebakaran dan ujian makmal bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Dalam pada itu, bekas suami Hayani iaitu Kamarozlan Muhammad, 57, berkata Daniel Quyum kini dalam keadaan trauma dan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya bagi pemantauan pakar selepas menjalani pembedahan di bahagian kepala.

"Cuma sebaik sedar semalam, dia tanyakan keadaan ibunya kepada kakaknya (anak sulung Kamarozlan) dan kami minta dia bertenang dulu serta rehat supaya tidak memikirkan kejadian tersebut.

"Nampaknya, hari ini keadaan dia semakin baik dan stabil... saya harap dia cepat sembuh," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502465