Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, seiring dengan prestasi Wall Street yang lemah pada akhir minggu lepas.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.04 mata atau 0.19 peratus kepada 1,634.77 daripada 1,637.81 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka rendah 2.73 mata kepada 1,635.08.
Dalam pasaran secara menyeluruh, 222 kaunter rugi mengatasi 92 kaunter untung, 275 kaunter tidak berubah, 2,174 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 115.70 juta saham bernilai RM58.16 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street secara keseluruhannya ditutup rendah berikutan peniaga memindahkan pelaburan daripada saham berkaitan teknologi kepada saham yang menawarkan nilai lebih menarik.
“Sementara itu, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh 10 tahun naik kepada 4.186 peratus, hampir kepada paras sebelum penurunan kadar faedah, menambah pendekatan berhati-hati dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.
Dalam negara, Thong berkata FBM KLCI tanpa dijangka mengekalkan aliran meningkatnya untuk ditutup pada paras 1,640 minggu lepas, dijangka disokong oleh belian bersih daripada institusi tempatan.
“Ringgit yang berada pada paras 4.09 berbanding dolar AS kekal menjadi pemangkin yang positif. Bagaimanapun, kami menjangka indeks diniagakan dalam julat 1,630 hingga 1,645 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.34 manakala Public Bank dan CIMB Group, masing-masing merosot satu sen kepada RM4.46 dan RM7.89. Tenaga Nasional berkurangan dua sen kepada RM13.00 dan IHH Healthcare mendatar pada RM8.61.
Dalam senarai paling aktif, Sentoria Group menambah setengah sen kepada 25 sen, Orkim naik 6.5 sen kepada RM1.02, Velesto Energy meningkat setengah sen kepada 28.5 sen, EWI Capital merosot 1.5 sen kepada 22 sen dan VS Industry berkurangan 1.5 sen kepada 52.5 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Nestle, naik 70 sen kepada RM114.00, Hong Leong Financial Group menambah 16 sen kepada RM18.36, Malayan Cement meningkat 10 sen kepada RM6.89, EP Manufacturing melonjak 5.5 sen kepada 47 sen dan Hume Cement menokok lima sen kepada RM3.04.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, SHH Resources merosot 23 sen kepada 88 sen, Hong Leong Bank berkurangan 20 sen kepada RM21.50, Paragon Union menurun lapan sen kepada RM3.45, SD Guthrie merosot tujuh sen kepada RM5.32 dan Kuala Lumpur Kepong susut enam sen kepada RM19.44.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 22.91 mata kepada 12,051.06, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 25.18 mata kepada 11,884.02, Indeks FBMT 100 jatuh 22.68 mata kepada 11,840.62, Indeks FBM ACE menurun 15.21 mata kepada 4,742.98 dan Indeks FBM 70 merosot 34.9 mata kepada 16,701.74.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 11.43 mata kepada 19,210.27, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.27 mata kepada 168.90, Indeks Perladangan menurun 30.99 mata kepada 8,120.28 manakala Indeks Tenaga menambah 0.57 mata kepada 768.36.
-- BERNAMA