PASARAN

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Didorong Pengukuhan Ringgit

15/12/2025 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini, disokong oleh pengukuhan ringgit yang berterusan, meningkatkan sentimen pelabur.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.28 mata atau 0.08 peratus kepada 1,639.09 daripada 1,637.81 semasa ditutup pada Jumaat lepas. 

Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 2.73 mata kepada 1,635.08, turun naik antara 1,632.54 dan 1,641.42 sepanjang sesi dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 581 berbanding 280 manakala 469 kaunter tidak berubah, 1,433 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.41 bilion unit bernilai RM952.46 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, pengukuhan ringgit terus menjadi tumpuan utama dan berpotensi memacu minat yang lebih tinggi terhadap pelaburan berteraskan domestik.

Katanya pilihan terhadap saham wajaran tinggi perbankan dalam tempoh aktiviti memperelok akaun.

“Bagaimanapun, minat dagangan turut dilihat dalam saham sarung tangan terpilih berikutan jumlah dagangan relatif mula meningkat, disokong oleh petunjuk pemulihan pendapatan dalam sektor tersebut,” katanya.

Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.49 dan Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM13.10.

Sementara itu, Maybank tidak berubah pada RM10.30, CIMB Group merosot tiga sen kepada RM7.87 dan IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM8.59.

Dalam senarai paling aktif, Tanco Holdings dan Mega Fortris, masing-masing mendatar pada RM1.18 dan 79.5 sen manakala Velesto Energy menambah setengah sen kepada 28.5 sen, Zetrix AI merosot 1.5 sen kepada 82 sen dan VS Industry berkurangan dua sen kepada 52 sen.

Bagi kaunter paling untung, Far East Holdings melonjak 30 sen kepada RM4.50, Malayan Cement meningkat 29 sen kepada RM7.08, Kuala Lumpur Kepong dan Hong Leong Bank, masing-masing naik 12 sen kepada RM19.62 dan RM21.82 serta Petronas Chemicals menokok 11 sen kepada RM3.58.

Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle merosot 50 sen kepada RM112.80, Dutch Lady berkurangan 42 sen kepada RM29.96, Malaysian Pacific Industries menurun 40 sen kepada RM31.60, Vitrox Corporation susut 12 sen kepada RM4.13 dan PGF Capital merosot 11 sen kepada RM1.82.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 4.34 mata kepada 12,069.69, Indeks FBMT 100 merosot 1.12 mata kepada 11,862.18, Indeks FBM Emas Shariah menurun 7.50 mata kepada 11,901.70, Indeks FBM 70 jatuh 47.68 mata kepada 16,688.99 dan Indeks FBM ACE merosot 28.56 mata kepada 4,729.63.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga berkurangan 3.83 mata kepada 763.96 dan Indeks Perladangan jatuh 8.43 mata kepada 8,142.84 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.03 mata kepada 19,225.73 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.15 mata kepada 170.32.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502875