POLITIK

Jentera PBB Diminta Bergerak Maklum Pengundi Muda Kelayakan Mengundi

15/12/2025 11:53 AM

SIBU, 15 Dis (Bernama) -- Jentera pilihan raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta bergerak aktif memaklumkan pengundi baharu berusia 18 tahun di Sarawak bahawa mereka layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada akhir tahun depan.

Naib Presiden PBB Datuk Dr Annuar Rapaee berkata masih banyak golongan muda tidak menyedari kelayakan itu kerana beranggapan mereka perlu mendaftar sebagai pengundi seperti sebelum ini.

Beliau berkata PRN akan datang adalah kali pertama golongan berkenaan terlibat sebagai pengundi, justeru penerangan yang jelas perlu diberikan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan betul.

“Saya mendapati masih banyak anak muda beranggapan mereka belum cukup umur untuk mendaftar sebagai pengundi, sedangkan mereka sudah layak mengundi. Ini menunjukkan tahap kesedaran masih rendah dan jumlah mereka adalah besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra PBB Sibu di Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) di sini malam tadi.

Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata mandat besar penting bagi mengekalkan kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta semua cawangan PBB di Sibu termasuk Dudong, Bukit Assek, Pelawan, Bawang Assan dan Nangka memperkemaskan jentera masing-masing sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502785