AM

Kritikan Media Berfakta Sebahagian Proses Demokrasi Sihat - Fadhlina

16/12/2025 10:55 PM

BANGI, 16 Dis (Bernama) -- Media memainkan peranan penting sebagai cerminan realiti di lapangan dengan menghubungkan dasar yang digubal pada peringkat kementerian kepada situasi sebenar yang berlaku di sekolah dan komuniti, termasuk di kawasan pedalaman dan pulau, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata kritikan media yang berfakta dan membina bukanlah satu ancaman, sebaliknya sebahagian daripada proses membuat keputusan dalam demokrasi yang sihat.

“Kritikan yang jujur dan berasaskan fakta ialah suara rakyat. Ia perlu diterima dengan hati terbuka kerana dari situlah penambahbaikan boleh dilakukan. Mana-mana pemimpin perlu berdepan dengan perkara ini secara matang dan berani memberikan jawapan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Jalinan KPM-Media di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Aminuddin Hassim, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad.

Mengulas tentang reformasi pendidikan, Fadhlina berkata usaha berkenaan bukan kerja jangka pendek atau mudah, sebaliknya memerlukan ketekunan, kejujuran serta keberanian untuk berdepan cabaran dan tekanan, termasuk kesan pascapandemik serta isu keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan.

Beliau berkata reformasi itu bertunjangkan prinsip keadilan, merangkumi keadilan akses pendidikan untuk murid di bandar dan pedalaman, anak daripada keluarga kurang berkemampuan serta sokongan berterusan kepada guru yang memikul amanah besar dalam membentuk masa depan generasi muda.

Fadhlina berkata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Kementerian Pendidikan bukan sahaja menumpukan usaha memulihkan sistem, malah membina semula kepercayaan dalam kalangan murid, ibu bapa dan masyarakat terhadap institusi pendidikan.

Beliau turut berkongsi pengalaman turun padang ke sekolah di kawasan pedalaman, termasuk sekolah terapung dan sekolah pulau, yang menurutnya memberikan gambaran jelas tentang cabaran geografi, kemudahan dan keperluan sokongan komuniti bagi memastikan murid terus hadir ke sekolah.

Pelaksanaan dasar pendidikan, termasuk inisiatif berkaitan wajib persekolahan, katanya memerlukan kerjasama erat antara kementerian, sekolah, ibu bapa, komuniti serta media supaya dasar yang dirangka benar-benar memberikan kesan kepada rakyat.

Fadhlina turut menzahirkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan untuk meneruskan amanah sebagai anggota Jemaah Menteri, sambil menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh agenda reformasi pendidikan negara.

Beliau berkata kepercayaan yang diberi itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memastikan setiap dasar dan inisiatif pendidikan dilaksanakan dengan lebih berkesan, berteraskan prinsip keadilan, kejujuran dan kepentingan terbaik murid, guru serta seluruh ekosistem pendidikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengekalkan beberapa menteri sedia ada, termasuk Fadhlina dan Timbalanannya Wong Kah Woh, dalam Kabinet Kerajaan MADANI bagi memastikan kesinambungan pasukan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan menangani isu rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503565