KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkukuhkan sistem kesiapsiagaan dan amaran awal bagi menghadapi risiko gelombang kedua banjir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata walaupun keadaan cuaca itu sukar dijangka secara tepat, namun keutamaan ketika ini adalah memindahkan penduduk lebih awal, khususnya bagi mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi.
“Kita tidak dapat menjangkakan dengan tepat, tetapi gelombang ini dijangka berlaku di Pantai Timur dan merupakan gelombang kedua yang akan melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan juga Sarawak.
“…Yang penting ialah sistem yang telah diwujudkan dari segi kesiapsiagaan dan amaran awal, bagi memastikan pemindahan penduduk dapat dilakukan lebih awal untuk mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan dokumen dan menyediakan persiapan secukupnya di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan kerja ke Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menangani sebarang pertikaian yang timbul berhubung isu premium tanah antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan kerajaan Terengganu secara berhemah bagi memastikan kepentingan dan kebajikan para peneroka sentiasa terpelihara.
Beliau berkata kerjasama antara Kerajaan Persekutuan melalui FELDA dan FGV dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap sebarang isu berbangkit.
“Tiada perkara yang tidak boleh dirundingkan dan keutamaan kita adalah kepentingan dan kebajikan para peneroka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan Terengganu bersetuju untuk melanjutkan tempoh remedi selama sebulan hingga 7 Jan depan, susulan perkembangan positif rundingan dengan FELDA berhubung isu terbabit.
Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Zulkifli Ali dilaporkan berkata selepas notis kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) disampaikan, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pengurusan tertinggi FELDA bagi mencari penyelesaian menyeluruh kepada isu berbangkit.
-- BERNAMA