AM

KDN Laksana Naik Taraf Menyeluruh Sistem, Kemudahan Imigresen Di BSI Dan KSAB

15/12/2025 03:23 PM

JOHOR BAHRU, 15 Dis (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan peningkatan menyeluruh terhadap sistem dan kemudahan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi melancarkan pergerakan pengguna Malaysia–Singapura, khususnya pada waktu puncak.

KDN menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan tumpuan diberikan kepada penambahbaikan segera dan sederhana melibatkan infrastruktur, automasi dan sistem digital imigresen.

“KDN sedang memasang 40 unit tambahan eGate NIISe (Sistem Imigresen Bersepadu Nasional) dan 145 unit pengimbas Kod QR MyNIISe di laluan motosikal, kenderaan dan pejalan kaki menjelang 31 Dis 2025. Peningkatan ini dijangka menggandakan keupayaan pemprosesan di kedua-dua pintu masuk,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut memaklumkan kerja naik taraf sistem MyIMMs dan NIISe sedang dipercepat bagi memastikan sistem berkenaan lebih stabil, responsif dan berupaya menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat.

Selain itu, capaian Internet di lokasi kritikal turut dipertingkat dengan kerjasama syarikat telekomunikasi bagi memastikan penggunaan Kod QR MyNIISe tidak terganggu semasa waktu puncak.

“KDN juga sedang menyepadukan sistem MyNIISe dan MyBorderPass bagi mewujudkan alur pergerakan lebih lancar, memudahkan pengguna tempatan dan pengembara asing untuk melalui pemeriksaan imigresen dengan lebih cepat,” menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan pelaksanaan berkesan, KDN memaklumkan Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi memantau kerja naik taraf secara mingguan sehingga semua sistem beroperasi sepenuhnya menjelang akhir Disember ini.

“KDN juga menggalakkan warganegara Malaysia agar memuat turun aplikasi MyNIlSe dan menggunakan laluan automatik eGate, yang bukan sahaja mempercepat urusan imigresen tetapi juga membantu mengoptimumkan aliran trafik di pintu masuk negara.

“Segala peningkatan yang sedang dilaksanakan ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk membina sistem imigresen yang lebih moden, efisien dan mesra pengguna, berteraskan prinsip ihsan dan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat,” menurut KDN.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502895