AM

MAIPk Terbit Lima Komik Warisan, Budaya Melayu, Didik Masyarakat Hargai Adat Resam

15/12/2025 04:17 PM

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan menerbitkan lima komik bertemakan warisan dan budaya Melayu pada April tahun depan, sebagai usaha mendidik masyarakat memahami serta menghargai adat resam yang kian dilupakan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh, berkata medium itu dipilih kerana sifatnya yang kreatif dan santai, selain mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuk belia, untuk meneliti isi kandungan naskhah berkenaan.

“Ini kali pertama MAIPk bekerjasama secara strategik dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi menghasilkan lima komik sebagai fasa awal yang mengetengahkan pelbagai topik berunsur cerita rakyat.

“Setiap naratif yang dibangunkan bukan sekadar bersandarkan cerita lisan, sebaliknya melalui kajian barisan penyelidik dan pakar dari UPSI serta UiTM. Keutamaan diberikan kepada ketepatan fakta bagi mengelakkan salah tafsir serta penyampaian mesej yang tidak tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Santun Melalui Komik dan Naratif Rakyat di Kompleks Islam Darul Ridzuan (KIDR) di sini hari ini.

Lima komik yang akan diterbitkan ialah Sultan Iskandar Bermain Ke Laut, Chempaka Sari, Peristiwa Dato’ Hilang di Padang, Indahnya Mahligai Cinta Perak, dan Pertunangan Sultan Iskandar Dzulkarnain dengan Puteri Raja Budak Rasul.

Syamsul Hazeman berkata pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak bagi memastikan kelima-lima komik itu dapat diedarkan ke sekolah-sekolah seluruh negeri.

Beliau menambah sekiranya sambutan menggalakkan, MAIPk tidak menolak kemungkinan untuk menerbitkan lebih banyak komik bagi edaran secara meluas, termasuk kepada jabatan dan agensi berkaitan.

“Selain itu, MAIPk merancang memperkenalkan podcast berkaitan warisan dan budaya Melayu serta Islam sebagai platform sokongan untuk meluaskan kefahaman masyarakat terhadap hubungan erat antara kedua-duanya.

“Inisiatif ini diharap dapat memperkukuh usaha mendekati masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara warisan dan identiti Melayu serta Islam,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502928