DUNIA

China Sedia Tingkatkan Hubungan Dengan Arab Saudi Ke Tahap Lebih Tinggi, Kata Menteri Luar China

15/12/2025 08:53 PM

RIYADH, 15 Dis (Bernama-CMG) -- China sentiasa menganggap Arab Saudi sebagai keutamaan dalam dasar diplomasi Asia Barat serta rakan kongsi penting dalam strategi diplomatik global.

Selain itu, China bersedia untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara demi meningkatkan hubungan China-Arab Saudi ke tahap lebih tinggi.

Demikian menurut Menteri Luar China Wang Yi ketika mempengerusikan Mesyuarat Kelima Jawatankuasa Kecil Politik Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi China-Arab Saudi bersama rakan sejawatnya Faisal bin Farhan Al Saud, di sini, pada Ahad.

Wang berkata tahun depan menandakan ulang tahun ke-10 jalinan perkongsian strategik komprehensif China-Arab Saudi. 

"China bersedia mengeratkan pertukaran peringkat tinggi dengan Arab Saudi dan mengalu-alukan pemimpin Arab Saudi untuk hadir pada Sidang Kemuncak China-Negara Arab kedua yang dijadual diadakan di China pada tahun depan," kata Wang.

Wang menyatakan bahawa China dan Arab Saudi merupakan rakan dagang dan ekonomi yang penting. 

"China menyokong Arab Saudi memainkan peranan lebih penting dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau, serta menyokong Arab Saudi menganjurkan Ekspo Dunia Riyadh 2030. 

China bersedia untuk memperkukuh komunikasi dan koordinasi dengan Arab Saudi di platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 20 (G20), dan BRICS bagi mempraktikkan multilateralisme sebenar dan mempertahankan keadilan antarabangsa," kata Wang.

Faisal bin Farhan Al Saud menyatakan bahawa pihaknya berpegang teguh pada prinsip satu China. 

Beliau turut memberikan penilaian positif terhadap pencapaian pembangunan China, di samping menyatakan harapan untuk mempererat pertukaran peringkat tinggi dengan China, mempelajari pengalaman kemajuan China, selain mempergiat kerjasama dengan China dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, dan ekonomi kitaran bagi mewujudkan situasi sama menang.

Selepas mesyuarat itu, Wang dan Faisal telah menandatangani perjanjian pengecualian visa antara rakyat kedua-dua negara untuk pemegang pasport diplomatik, pasport perkhidmatan awam, dan pasport khas.

--BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2502951