JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Lelaki Cedera Kemalangan Lori Tangki, Treler Muatan Besi

15/12/2025 06:48 PM

KUANTAN, 15 Dis (Bernama) -- Dua cedera dalam kemalangan melibatkan lori tangki membawa bahan kimia dan sebuah treler muatan besi terpakai di KM109 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Jambatan Kampung Gadak, Muadzam Shah, Rompin, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.52 tengah malam dan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah telah bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata sebaik tiba dilokasi, didapati seorang mangsa tersepit manakala seorang lagi telah dikeluarkan oleh orang awam. 

"Bomba telah mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum pemandu terbabit dibawa ke hospital," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kebocoran pada lori tangki itu dan tumpahan bahan kimia, namun ketika kemalangan hujan lebat menyebabkan bahan berkenaan telah terlarut air. 

Mohd Salahuddin berkata bomba juga sudah melaporkan kejadian tumpahan bahan kimia itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika lori tangki dipandu lelaki berusia 53 tahun hilang kawalan kemudian masuk ke bahu jalan sebelah kiri. 

"Kenderaan itu kemudiannya berpusing melintang ke arah sebelah kanannya dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian kanan treler dipandu lelaki berusia 46 tahun," katanya.

Beliau berkata akibat kemalangan itu kedua-dua pemandu mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu turut mengakibatkan laluan terhalang dan kesesakan kira-kira lima kilometer, namun kini kenderaan terbabit telah dialihkan di tepi jalan. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503005