JENAYAH & MAHKAMAH

Lima Individu Ditahan Cipta Aplikasi, Tipu Tukaran Mata Wang Asing

16/12/2025 01:53 PM

KUANTAN, 16 Dis (Bernam) -- Polis Pahang menumpaskan sindiket yang mencipta aplikasi bagi tujuan penipuan, dalam serbuan di sebuah rumah di Puncak Lestari, Mentakab, Temerloh.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman, berkata seramai lima suspek terdiri daripada lelaki dan wanita tempatan, dua lelaki warganegara China dan seorang wanita warganegara Indonesia, ditahan kira-kira 6.50 petang pada 2 Dis lepas.

“Suspek yang berusia antara 29 hingga 39 tahun itu dipercayai telah menjalankan kegiatan mencipta aplikasi bagi kegunaan scammer untuk memerangkap mangsa di China.

"Dalam masa yang sama, kumpulan berkenaan turut bergiat dalam penipuan penukaran mata wang asing tidak wujud, yang turut menyasarkan mangsa di China," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Berdasarkan pemeriksaan, kesemua suspek dipercayai telah tinggal di premis berkenaan sejak Julai lepas dan bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan bayaran gaji sebanyak RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

Menerusi serbuan itu, polis turut merampas sebanyak 11 telefon bimbit, tujuh komputer riba, dua unit monitor, satu unit papan kekunci dan dua unit modem dengan anggaran nilai keseluruhan RM30,000.

Serbuan berkenaan merupakan tangkapan ketiga membabitkan pusat scammer di Pahang tahun ini, selepas di Genting Highlands pada awal tahun dan di Bera pada 27 Nov .  

Sementara itu, Yahaya memaklumkan berdasarkan statistik Januari hingga November tahun ini, jumlah kerugian direkodkan melibatkan kes penipuan ialah RM90.3 juta berbanding lebih RM80 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503241