Oleh Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Skuad gimnastik berirama (gimrama) negara berjaya merangkul pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 hari ini.
Diketuai oleh pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 Ng Joe Ee, pasukan Malaysia meraih keseluruhan 234.60 mata pada perlawanan akhir di Gimnasium 5, Thammasat University Rangsit Campus, Pathum Thani.
Format pertandingan kali ini menyaksikan dua gimnas individu mempersembahkan empat rutin, iaitu gelung, bola, riben dan belantan, manakala enam gimnas yang lain masing-masing perlu melakukan dua rutin.
Pengurus pasukan Afrita Ariany Nasril berkata skuad memilih untuk mempersembahkan lima acara reben pada rutin pertama, manakala dua disiplin gelung dan tiga bola bagi rutin kedua.
Beliau berkata Joe Ee dan Mavia Wong pula ditugaskan untuk melakukan dua rutin individu.
"Saingan sengit daripada tuan rumah, namun kami bersyukur dapat memenanginya," katanya kepada Bernama.
Walaupun membantu pasukan untuk memenangi pingat emas pertama pada Sukan SEA di sini, Joe Ee berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan prestasinya hari ini.
"Saya boleh buat lebih baik. Agak sedih kerana saya menjatuhkan bola semasa persembahan tadi," katanya.
Pasukan tuan rumah, Thailand, menamatkan saingan di tempat kedua dengan 222.36 mata, manakala tempat ketiga menjadi milik Filipina yang memperoleh 174.42 mata.
Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA