Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Jaguh lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin kini meletakkan sasaran lebih besar, iaitu memburu pingat emas Sukan Asia selepas mengukuhkan dominasi apabila meraih emas ketujuh berturut-turut pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, hari ini.
Muhammad Irfan berkata sasaran itu bukan sekadar impian kosong, tetapi juga matlamat realistik berdasarkan prestasi semasa dan perkembangan positif dalam latihan.
Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu berkata persiapan rapi serta sokongan menyeluruh amat penting dalam memastikan misi berkenaan dapat direalisasikan menjelang temasya sukan empat tahun sekali itu di Jepun, tahun depan.
“Sudah tentu sasaran saya selepas ini lebih besar. Yang saya nampak sekarang ialah gambaran yang jelas, iaitu emas Sukan Asia … sesuatu yang munasabah dan boleh dicapai, bukan sekadar angan-angan.
“Saya hanya perlukan sokongan daripada semua pihak untuk keseluruhan persiapan ini,” kata atlet berusia 30 tahun itu ketika ditemui selepas final lempar cakera lelaki di Stadium Suphachalasai, di sini.
Pada aksi hari ini, lemparan sejauh 60.23 meter (m) pada percubaan kedua sudah memadai buat Muhammad Irfan mengesahkan pingat emas dan mencipta rekod temasya dengan memadam catatan 59.50m yang bertahan selama 26 tahun dicipta Wong Tuck Yim dari Singapura pada edisi 1999 di Brunei.
Atlet Thailand Srisai Kiadpradid meraih perak dengan catatan 53.82m dan gangsa menjadi milik wakil Filipina Ricaforte Russel Je yang merekodkan 53.34m.
Prestasi Muhammad Irfan di pentas Asia menunjukkan peningkatan sejak penampilan sulungnya dengan menduduki tempat ke-12 pada edisi Incheon 2014 dengan catatan 53.86m sebelum melonjak ke tempat kelima di Jakarta–Palembang 2018 (57.70m) dan tempat keenam di Hangzhou 2022 dengan catatan terbaik 58.94m.
Sementara itu, mengimbau perjalanan kariernya dalam Sukan SEA, Muhammad Irfan berkata beliau tidak meletakkan sasaran khusus pada penampilan sulungnya di Myanmar pada 2013, namun mula menetapkan matlamat termasuk memburu rekod temasya pada edisi 2015 dan 2017 di Singapura dan Malaysia.
Beliau turut mendedahkan kejayaannya kali ini dicapai hasil penyesuaian program latihan bersama dengan jurulatih Robert Fazekas, terutama ketika tempoh persiapan musim sejuk yang lazimnya menyukarkan atlet untuk mencatat jarak lontaran jauh.
“Untuk sukan saya, persiapan sekarang ialah latihan musim sejuk dan biasanya memang sukar untuk baling jauh. Tetapi saya dan jurulatih ubah pendekatan, kami kurangkan sedikit beban latihan dan ternyata menjadi,” katanya.
Beliau mengakui berpuas hati dengan pencapaian hari ini, malah merasakan dirinya hampir memadam rekod kebangsaan.
“Sejujurnya, saya dapat rasa saya boleh cipta rekod kebangsaan hari ini. Perasaan itu memang ada. Kalau lontaran melebihi 60m itu kena betul-betul kuat, saya yakin 100 peratus boleh buat 63m hingga 64m kerana dalam latihan saya pernah capai jarak itu,” katanya.
Rekod kebangsaan milik Muhammad Irfan ialah 62.55m yang dilakukan pada Mei 2017 di Austria.
Kejayaan Muhammad Irfan ialah emas kelima skuad olahraga negara di sini selepas Grace Wong dalam acara baling tukul besi wanita, Jonah Chang Rigan (lontar peluru lelaki), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru wanita) dan Andre Anura dalam acara lompat jauh lelaki.
-- BERNAMA