SUKAN

Mohd Nafuzi Puji Semangat Juang Harimau Muda Meskipun Tewas Kepada Thailand

16/12/2025 11:38 AM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) negara Mohd Nafuzi Zain memuji karakter dan disiplin yang ditunjukkan para pemain Malaysia meskipun tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi separuh akhir bola sepak lelaki pada Sukan SEA 2025 di sini malam tadi.

Mohd Nafuzi berkata prestasi pasukan di Stadium Nasional Rajamangala berbeza daripada perlawanan terdahulu, dengan Harimau Muda berjaya mengawal permainan dan membina keyakinan sejak minit awal lagi.

Beliau bagaimanapun berkata momentum sedikit berubah selepas pertahanan kanan Muhammad Aiman Yusuf Muhammad Nabil dilayangkan kad merah pada minit ke-16, satu situasi yang sukar dikawal kerana usia pemain itu masih muda dan kurang pengalaman.

“Thailand adalah pasukan pilihan dan jika dibuat perbandingan, terdapat perbezaan kualiti yang jelas antara Malaysia dan Thailand, dengan pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan. Namun, daripada peringkat awal kami mengawal perlawanan dengan baik, menguasai kawalan bola dan cuba mendominasi untuk membina keyakinan kami.

“Perlawanan berubah selepas kami beraksi dengan 10 pemain. Saya tidak boleh menyalahkan pemain yang terlibat kerana dia masih muda, baru berusia 19 tahun dan kurang pengalaman. Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan ia akan memberi manfaat kepadanya pada masa hadapan kerana dia seorang pemain berbakat,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Dalam perlawanan malam tadi, gol kemenangan Thailand hadir pada minit kelapan apabila sepakan percuma Yotsakon Burapha dari luar kotak penalti tepat ke bucu kiri gawang untuk menewaskan penjaga gol Sharani Zulhilmi.

Walaupun beraksi dengan 10 pemain hampir 80 minit, Mohd Nafuzi memuji peningkatan penguasaan benteng pertahanan pasukan itu serta keupayaan mereka untuk terus mencipta peluang.

“Benteng pertahanan kami berbeza berbanding perlawanan sebelum ini dan walaupun kekurangan seorang pemain, kami masih mampu mencipta peluang,” kata jurulatih berusia 45 tahun itu.

Kekalahan itu bermakna Malaysia yang bergelut dengan isu pelepasan dan kecederaan pemain sebelum menghadapi temasya dwitahunan itu akan bertemu Filipina dalam perlawanan penentuan pingat gangsa pada Khamis.

Filipina tewas 0-2 kepada Vietnam dalam satu lagi aksi separuh akhir di sini semalam.

Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan edisi 2023 di Kemboja selepas tewas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa edisi 2021 di Hanoi.

Kali terakhir skuad kebangsaan menamatkan saingan di podium adalah apabila memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503165