AM

Lebih 95 Peratus Program Pencetus Perubahan KKDW Tercapai - TPM Ahmad Zahid

16/12/2025 03:19 PM

IPOH, 16 Dis (Bernama) -- Lebih 95 peratus program pencetus perubahan penting di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya dilaksanakan setakat ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pencapaian ini menggambarkan komitmen bukan sahaja pada peringkat kementerian tetapi juga peringkat exco-exco kerajaan negeri.

“Kita mahu exco setiap negeri memberikan keperihatinan kepada soal pencapaian kepada peruntukan yang disalurkan kepada kerajaan negeri dan kita mahu dari segi cost effectiveness (keberkesanan kos) memberikan kesan berpanjangan.

“Kita mempunyai sedikit masa lagi sehingga hujung tahun ini dan kita harap ia akan tercapai sepenuhnya,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCBLUB) yang ke-60, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Datuk Zolkafly Harun.

Sebelum ini dilaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengenal pasti 42 program pencetus perubahan penting bagi 2025 dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat luar bandar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata hasil perbincangan dan cadangan dasar dalam MEXCLUB pada kali ini akan menjadi input penting kepada penyediaan Pelan Strategik KKDW 2026-2030 yang bakal dilancarkan pada Februari tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat turut bersetuju KKDW mengguna pakai sistem e-Penghulu yang dipelopori negeri Perak sebagai platform digital yang akan diperluaskan penggunaannya ke semua pejabat penghulu di seluruh negara.

Turut disentuh mengenai sasaran nasional 70 peratus lepasan SPM memilih laluan TVET sebagai pilihan pertama menjelang 2030, justeru itu exco-exco luar bandar di seluruh negara diseru menyokong usaha ke arah matlamat dasar berkenaan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503290