AM

Ramanan Dilantik Menteri Penuh, Terajui Kementerian Sumber Manusia

16/12/2025 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Selepas dua tahun berkhidmat sebagai timbalan menteri, Datuk Seri R. Ramanan kini dilantik sebagai menteri penuh untuk menerajui Kementerian Sumber Manusia.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini di Putrajaya sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan MADANI  bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi sebagai satu pasukan yang lebih berkesan.

Sebelum ini, Ramanan merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, jawatan yang disandangnya sejak Disember 2023.

Ramanan, 44, merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh yang mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-15 apabila menewaskan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dengan majoriti 2,693 undi dalam pertandingan tujuh penjuru 

Dilahirkan pada 11 Feb 1981, Ramanan merupakan cucu kepada tokoh politik kaum India yang disegani, Tan Sri Devaki Krishnan, wanita pertama memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka, selepas dipilih sebagai ahli Majlis Perbandaran Bangsar pada 1952.

Beliau juga pernah menerajui Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) pada 2023.

Ramanan berkelulusan ijazah teknologi kejuruteraan (mekanikal) dari Queensland University of Technology (QUT), Australia dan mula bergiat dalam politik bersama MIC pada pertengahan 2000-an.

Ketika bersama MIC, beliau memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Bahagian Bukit Bintang, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Timbalan Ketua Biro Perancangan Strategik, serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) selama dua penggal.

Pada 16 Dis 2013, beliau dilantik sebagai Bendahari Agung parti sebelum meletakkan jawatan pada 2014.

Susulan krisis politik ‘Langkah Sheraton’ pada 2020, Ramanan menyertai PKR dan aktif dalam struktur parti, termasuk sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Timbalan Pengarah Strategik, Timbalan Ketua Penerangan I dan kini sebagai Naib Presiden parti.

Beliau turut pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, selain memimpin organisasi masyarakat termasuk Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA) dan Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan (EWRF).

Ini merupakan rombakan Kabinet kali kedua di bawah pentadbiran Anwar, selepas rombakan pertama dibuat pada 12 Dis 2024. Kerajaan Perpaduan dibentuk pada Disember 2022.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503418