Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Selasa, dipengaruhi oleh trend penurunan dalam niaga hadapan getah serantau, kejatuhan harga minyak mentah dan ringgit yang sedikit mengukuh berbanding dolar AS, menurut seorang peniaga.
Pada awal dagangan hari ini, ringgit melonjak ke paras 4.08 berbanding dolar AS, yang merupakan prestasi terbaiknya dalam tempoh hampir lima tahun.
Sementara itu, harga minyak mentah Brent pula susut 1.07 peratus kepada US$59.91 setong, kata peniaga itu Bernama.
Ia berkata sentimen turut lembap apabila para peniaga kekal berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi utama AS.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dihadkan oleh jualan automotif China yang menggalakkan dan pengumuman Beijing mengenai pakej rangsangan baharu untuk menyokong ekonomi,” tambahnya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut 2.0 sen kepada 723.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 576.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA