AM

Rombakan Kabinet: Anwar Umum 28 Lantikan, Pertukaran Portfolio

16/12/2025 07:09 PM

PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.

Anwar, ketika membuat pengumuman itu, berkata rombakan berkenaan dilakukan bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi sebagai satu pasukan yang lebih berkesan sekali gus memberikan tumpuan kepada usaha menjana pertumbuhan ekonomi lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau berkata penyesuaian itu juga dibuat susulan beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri serta keperluan semasa untuk memperkukuh keupayaan Kabinet menghadapi cabaran ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Seperti sedia maklum, ada beberapa kekosongan dalam barisan Jemaah Menteri dan ada keperluan untuk membuat sedikit penyesuaian supaya Kabinet bekerja sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat,” kata Anwar pada pengumuman khas Kabinet Kerajaan MADANI di sini hari ini.

Beliau berkata hanya menteri dan timbalan menteri yang terlibat dalam pertukaran portfolio atau lantikan baharu diumumkan, manakala yang kekal tidak diumumkan bagi memberikan ruang dan memudahkan pengamal media menjalankan tugasan masing-masing.

Anwar berkata pertukaran portfolio dalam kalangan menteri melibatkan Hannah Yeoh yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala Steven Sim sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bagi jawatan timbalan menteri, Liew Chin Tong dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebagai Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, manakala Datuk Chan Foong Hin sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Datuk Lukanisman Awang Sauni pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar, manakala Lim Hui Ying sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sementara itu, Adam Adli Abd Halim dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Hanifah Hajar Taib (Timbalan Menteri Kesihatan), Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi), manakala Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Bagi kategori lantikan baharu menteri, Datuk Mustafa Sakmud dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Dr Zulkifli Hasan kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Menteri Ekonomi), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Datuk Dr Noraini Ahmad (Menteri Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri R. Ramanan (Menteri Sumber Manusia), manakala Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Bagi jawatan timbalan menteri, muka baharu melibatkan Datuk Lo Su Fui yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Chiew Choon Man (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), dan Yuneswaran Ramaraj (Timbalan Menteri Perpaduan Negara).

Sim Tze Tzin pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Mohd Shahar Abdullah (Timbalan Menteri Ekonomi), Mordi Bimol (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) dan Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Secara keseluruhan, rombakan Kabinet ini melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, tujuh lantikan baharu menteri dan lapan lantikan baharu timbalan menteri, menjadikan keseluruhan 28 menteri dan timbalan menteri.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2503435