KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengutuskan warkah tahniah kepada Balvinder Dhillon yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang penyelidikan perubatan.
Balvinder, 24, siswazah jurusan kejuruteraan bioperubatan, memenangi dua anugerah tahunan berprestij tinggi Global Undergraduate Awards di Dublin, Ireland, secara berturut-turut sejak tahun lepas.
Beliau kini melanjutkan pengajian di Imperial College London dalam bidang Robotik Kemanusiaan dan Biologi.
Warkah Raja Permaisuri Agong itu diserahkan oleh Pegawai Pentadbir (Pentadbiran) Istana Negara, Zulfadli Zakaria, di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada semalam, menurut satu hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan berkenaan, Balvinder berharap kejayaan itu dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda Malaysia untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi masa depan negara.
“Warkah daripada Tuanku Permaisuri ini amatlah bermakna kerana mengiktiraf bukan sahaja usaha saya sendiri, malah juga sokongan padu keluarga saya, para mentor dan negara yang saya banggakan.
“Ini sebuah peringatan bahawa Malaysia sentiasa mampu menghasilkan bakat bertaraf dunia, saya amat menjunjung kasih,” katanya.
-- BERNAMA