KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memperkenalkan Pusat Pembelajaran Imersif, satu pendekatan baharu berasaskan teknologi digital dan imersif dalam usaha menarik minat generasi muda, sejajar dengan perkembangan pesat teknologi masa kini.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan memaklumkan projek itu bertujuan memperluas akses kepada sumber maklumat digital serta menggalakkan penggunaan teknologi sebagai medium memperkukuh perpaduan masyarakat melalui pelaksanaan program literasi digital yang lebih komprehensif.
“Projek di bawah KPN yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 5 (RMK12 RP5) serta merupakan sebahagian daripada inisiatif Belanjawan 2025 di bawah Pendigitalan Khazanah Warisan Negara telah bermula pada 15 Mac 2025 dan disiapkan sepenuhnya pada 28 Nov 2025,” menurut kenyataan itu hari ini.
Perkhidmatan pusat berkenaan yang dijadual dibuka pertengahan bulan depan akan memanfaatkan teknologi terkini seperti realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), metasemesta, hologram, Avatar Pustakawan, skrin LED, panel interaktif, Robozone serta AR Photobooth bagi memperkaya pengalaman dan pembelajaran digital kepada pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, KPN memaklumkan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang turut mengadakan sesi lawatan bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan hari ini.
KPN memaklumkan Aaron menegaskan penggunaan teknologi sebagai medium pembelajaran mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing.
“KPN akan terus mempergiat usaha memperluaskan penggunaan teknologi baharu dalam perkhidmatan perpustakaan kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA