Oleh Muhammad Afiff Md Adnan
BANGKOK, 17 Dis (Bernama) -- Penembak negara Gan Chen Jie membidik emas dalam acara 50m Raifal 3 Posisi wanita Sukan SEA Thailand 2025, berlangsung di Lapang Sasar Sports Authority of Thailand hari ini.
Lebih manis, penembak berusia 21 tahun itu mencipta rekod baharu temasya selepas membidik 451.7 mata, mengatasi rekod terdahulu 451.1 mata milik Phi Thanh Tal dari Vietnam, yang dilakukan pada edisi 2021 di Hanoi.
Pingat perak dimenangi wakil Indonesia, Audrey Zahra Dhiyaanisa yang mengumpul 451.5 mata manakala penembak Singapura Adele Tan mengutip 440.6 mata untuk gangsa.
Chen Jie sebelum ini, meraih pingat perak acara berpasukan dan gangsa dalam acara 10m Air Raifal berpasukan campuran.
-- BERNAMA