AM

Pelantikan Wan Ahmad Farid Sebagai Ketua Hakim Negara Perkukuh Sistem Kehakiman

18/12/2025 10:16 AM

Oleh Nor Fariza Mohd Razhi

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Landskap kehakiman negara melakar satu detik bersejarah apabila pelantikan Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menjadi sorotan utama dalam persada perundangan tanah air.

Persoalan yang berlegar tentang individu yang akan mengisi kekosongan jawatan tertinggi badan kehakiman negara itu akhirnya terjawab apabila Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan Wan Ahmad Farid mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada Julai lepas.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Figura berusia 63 tahun kelahiran Kuala Terengganu itu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 Nov tahun lepas, sebelum menggalas amanah terbesar dalam badan kehakiman setelah persaraan Ketua Hakim Negara ke-16 Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 2 Julai.

Pada 6 Ogos, dalam upacara penuh simbolik di Istana Kehakiman, Wan Ahmad Farid berikrar untuk melindungi dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman serta memberikan sepenuh komitmen ke arah penambahbaikan institusi berkenaan.

"Biarlah mesej mengenai kebebasan badan kehakiman terus bergema dengan lantang dan jelas, bukan sekadar memenuhi ruang-ruang di dalam Istana Kehakiman dan mahkamah lain, tetapi turut menular ke segenap lapisan masyarakat dan setiap penjuru kuasa di dalam negara kita," katanya. 

Menelusuri 100 hari memimpin tampuk tertinggi institusi kehakiman negara, beliau mengumumkan beberapa langkah untuk menangani kes tertunggak dan meningkatkan akses kepada keadilan melalui pelantikan pesuruhjaya kehakiman tambahan serta meluaskan perkhidmatan mediasi.

Dalam temu bual bersama dengan media di Istana Kehakiman baru-baru ini bersempena dengan 100 hari beliau memegang jawatan Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid berkongsi rancangan badan kehakiman untuk mewujudkan mahkamah tambahan bagi Mahkamah Komersial di Kuala Lumpur untuk meningkatkan keyakinan pelabur dan memudahkan penyelesaian kes komersial dengan lebih pantas.

Dalam temu bual itu, beliau turut berkongsi momen lucu dengan petugas media dan mengundang wartawan serta jurugambar ke ruang kerjanya untuk memberikan sekilas gambaran tentang tugas dan operasi harian di pejabatnya.

"Tiada sesiapa yang boleh mengarahkan saya melakukan apa-apa … walaupun perdana menteri, kecuali media," katanya yang mencetuskan ketawa para petugas media ketika diminta bergambar dengan barangan di atas mejanya. 

Pada sesi itu, Wan Ahmad Farid yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008, sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009, kelihatan lebih santai dan beramah mesra serta bergurau dengan media, mempamerkan sisi berbeza yang lebih tegas ketika mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan.

Wan Ahmad Farid berkata seseorang hakim perlu dinilai berdasarkan prestasinya di mahkamah menerusi kualiti penghakiman, sikap di mahkamah dan pengendalian yang adil kepada semua pihak yang terlibat dan bukannya oleh faktor luaran atau sejarah peribadi hakim itu.

Beliau berkata keputusan kehakiman mesti berdasarkan fakta dan undang-undang serta tanpa pengaruh luar, dan hakim dengan sewajarnya mempertimbangkan semua faktor pengurangan dalam kes jenayah semasa menjatuhkan hukuman.

Meneruskan visinya itu, Wan Ahmad Farid telah mengaktifkan semula persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di Mahkamah Pulau Pinang sebagai usaha memberikan akses lebih mudah kepada keadilan bagi negeri di zon utara, sekali gus mengurangkan kos, masa dan risiko perjalanan ke Putrajaya.

Langkah itu juga dijangka menyumbang kepada peningkatan kecekapan pentadbiran kehakiman dengan mengurangkan kelewatan urusan rayuan kerana peguam dan pihak yang berkenaan dari negeri di utara tidak lagi perlu ke Putrajaya untuk menghadiri pendengaran rayuan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504013