GAYA HIDUP

Pelayaran Piano Land Mengubah Persepsi Percutian Mewah

18/12/2025 11:51 AM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menikmati percutian, namun kapal persiar tidak termasuk dalam pilihan utama majoriti pelancong Malaysia.

Imej kapal persiar yang digambarkan sebagai satu kemewahan dan gaya hidup eksklusif, selain terikat dengan jadual pelayaran, membentuk persepsi bahawa pengalaman ini kurang fleksibel, khususnya untuk percutian bersama-sama dengan keluarga atau rakan.

Penulis yang gemar menggembara secara bebas, turut menyimpan tanggapan bahawa percutian di atas kapal persiaran terhad dari segi pilihan aktiviti selain penginapan sepenuhnya di tengah laut.

pic-2

Namun peluang menyertai pelayaran khas media tiga hari dua malam di atas kapal persiar mewah MV Piano Land dari Port Klang Cruise Terminal (PKCT) ke Swettenham Pier Cruise Terminal, Pulau Pinang anjuran Tourism Selangor baru-baru ini, mengubah persepsi penulis.

Pengalaman berlayar merentasi perairan Selat Melaka itu juga membuka mata tentang realiti percutian atas kapal yang kini semakin mesra keluarga.

MV Piano Land seberat 70,000 tan yang mempunyai 13 dek itu menempatkan lebih 850 kabin dan mampu memuatkan 1,700 penumpang serta lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk restoran, kolam renang, jakuzi, pawagam, pentas teater, gimnasium, perpustakaan dan spa.

pic-3

Kepelbagaian kemudahan itu bagaikan penulis menginap di sebuah resort mewah, cuma bezanya “resort” ini terapung di atas air.

Aktiviti di atas kapal juga tidak kurang menariknya dengan pusat permainan kanak-kanak, pusat fotografi pelayaran dan Mini Telematch sebagai tarikan tambahan, manakala aktiviti harian seperti zumba, aerobik, kuiz dan permainan interaktif memastikan pelayaran bukan sekadar berehat tetapi penuh variasi dan keseronokan.

Selain itu, suasana makan di restoran kapal menawarkan pengalaman gastronomi unik, dari hidangan tempatan hingga antarabangsa, menjadikan setiap jam di atas kapal seperti sebuah penjelajahan rasa.

pic-4

Bagi mereka yang mencari ketenangan, dek pemerhatian dan kawasan istirahat menyediakan ruang santai sambil menikmati matahari terbenam, pengalaman yang jarang ditemukan di destinasi lain. 

Peluang merakam memori dengan berlatarkan matahari terbenam dimanfaatkan sepenuhnya oleh penumpang termasuk penulis.

Antara detik paling menarik dan sukar dilupakan ialah lawatan ke bilik kapten kapal, di mana kami berpeluang melihat panel instrumen yang kompleks termasuk  sistem navigasi canggih sambil kapten berkongsi rutin harian serta cabaran mengemudi kapal besar di perairan Selat Melaka.

pic-5

Sebelum ini, Bernama melaporkan Sektor pelancongan Selangor dijangka menerima suntikan baharu apabila kapal persiar mewah dari China,  MV Piano Land bakal menjadikan PKCT sebagai pelabuhan tetap atau “home port” bermula suku keempat tahun ini.

Usaha yang merupakan hasil kerjasama strategik antara Astro Ocean Cruise dan Hwajing Travel & Tours itu  juga menawarkan pelayaran mesra Muslim dan berteras kekeluargaan bagi pasaran serantau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504018