EKONOMI

Dewan Negara Lulus RUU Langkah Pemungutan Cukai 2025

18/12/2025 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah bagi Pemungutan, Pentadbiran dan Penguatkuasaan Cukai 2025 untuk memperkukuh sistem percukaian negara. 

RUU tersebut merangkumi pindaan terhadap lima akta percukaian, iaitu Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

Seramai enam Senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan mengemukakan pandangan serta cadangan berkaitan RUU berkenaan.

Antara aspek yang disentuh termasuk isu pendigitalan pentadbiran cukai, duti setem, pengeluaran garis panduan oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, bayaran balik lebihan cukai serta usaha meningkatkan tadbir urus hasil.

Menyentuh isu pendigitalan pentadbiran cukai, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata pindaan akta yang mewajibkan pengemukaan maklumat percukaian atau borang nyata cukai melalui medium elektronik bertujuan mengurangkan kos pematuhan yang ditanggung pembayar cukai.

Beliau berkata langkah itu juga dapat menjimatkan masa penghantaran menerusi platform digital, selain memudahkan dan mempercepatkan proses penerimaan dokumen.

“Ia juga menyediakan medium berpusat dan selamat bagi tujuan penyampaian data. Langkah ini menyokong usaha kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi Dasar Pendigitalan Negara,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Negara hari ini.

Liew berkata selepas pelaksanaan Sistem Taksiran Sendiri Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), kerajaan juga akan melaksanakan Sistem Taksiran Sendiri Duti Setem mulai 1 Jan, 2026, selaras dengan amalan antarabangsa yang dilaksanakan di Ireland, Singapura, United Kingdom dan Australia.

Berdasarkan pengalaman Malaysia melaksanakan sistem taksiran sendiri bagi cukai-cukai lain sejak tahun 2001, beliau berkata sistem itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar cukai, malah dijangka dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran pungutan duti setem melalui penggunaan platform digital.

Menyentuh isu bayaran balik lebihan cukai pendapatan yang dibangkitkan oleh Senator Tan Sri Low Kian Chuan dan Senator Roderick Wong Siew Lead, Liew berkata kerajaan komited untuk mempercepatkan proses bayaran balik pada setiap tahun.

Bagi 2025, sehingga 30 November, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuat bayaran balik lebihan cukai sebanyak RM14.55 bilion melibatkan 3.47 juta kes, meningkat 17.5 peratus berbanding RM12.39 bilion melibatkan 2.71 juta kes pada 2024.

Dalam usaha memperkukuh pengurusan bayaran balik lebihan cukai, beliau berkata LHDN turut merangka strategi bagi memastikan peruntukan bayaran balik yang disediakan kerajaan dapat diagihkan secara adil dan teratur.

Mengenai tadbir urus hasil, Liew berkata Belanjawan 2026 menekankan pengurusan fiskal yang berhemat dan telus bagi memastikan hasil negara dimanfaatkan oleh rakyat melalui bantuan bersasar serta pelaburan strategik yang inklusif, dengan tumpuan kepada pemacuan pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang saksama.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus memperkukuh penjanaan hasil negara melalui agenda pembaharuan fiskal serta menangani isu ketirisan hasil dengan meningkatkan tahap pematuhan cukai dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih berkesan.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504266