EKONOMI

LHDN Selesai Proses Bayaran Balik Cukai Berjumlah RM17 Bilion

19/12/2025 08:54 PM

CYBERJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM17 bilion melibatkan 3.53 juta kes bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Disember lepas.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan bayaran balik cukai itu turut meliputi peruntukan tambahan berjumlah RM2 bilion diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Sebanyak RM2 bilion telah diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 18 Dis, 2025 yang melibatkan 7,819 kes. 

"Baki RM2 bilion peruntukan tambahan akan diproses dan diselesaikan sebelum akhir Disember ini," menurut kenyataan itu.

Menurut LHDN, dana tambahan RM1 bilion pertama diperuntukkan telah berjaya menyelesaikan tunggakan bayaran balik berusia melebihi tiga tahun tanpa mengambil kira jumlah yang terlibat.

"Manakala dana RM1 bilion berikutnya telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik berusia dua tahun ke atas dengan tumpuan diberikan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," katanya.

Pada 7 Disember lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepat pembayaran yang masih tertunggak kepada pembayar cukai.

Justeru, LHDN berkata pembayar cukai dinasihatkan supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank dilaporkan kepada LHDN adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar. 

"Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan akaun bank yang betul. 

"Selain itu, tiada bayaran balik dapat diproses melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan," katanya lagi.

LHDN berkata pihaknya akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik, antaranya amaun tertunggak melibatkan PKS.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504643