DUNIA

Jepun Luaskan Larangan Dron Di Lokasi Tertentu Susulan Peningkatan Risiko Keganasan

18/12/2025 09:42 PM

TOKYO, 18 Dis (Bernama-Kyodo) -- Agensi Polis Jepun pada Khamis memaklumkan rancangan untuk meluaskan kawasan larangan penerbangan dron di sekitar lokasi yang ditetapkan kepada kira-kira 1,000 meter, berbanding sekitar 300 meter ketika ini, susulan kemajuan teknologi tanpa pemandu yang meningkatkan risiko keganasan, lapor Kyodo News.

Agensi Polis Kebangsaan berharap pindaan kepada undang-undang dron dapat dibentangkan pada sidang "Diet" akan datang, susulan laporan yang disediakan pakar-pakar yang menekankan peningkatan keupayaan dron serta penggunaannya yang semakin meluas.

Lokasi yang ditetapkan sebagai kawasan larangan penerbangan dron termasuk pejabat Perdana Menteri, Istana Diraja, loji nuklear, lapangan terbang serta kemudahan Pasukan Pertahanan Diri Jepun, antara lain.

Agensi itu juga bercadang melarang sementara penerbangan dron di sekitar lokasi acara antarabangsa berskala besar seperti Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7), atau majlis domestik yang dihadiri tetamu kenamaan.

Menurut agensi berkenaan, kemajuan teknologi dron telah menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan jarak jauh, selain keupayaan pihak polis untuk memberi tindak balas yang berkesan.

Berdasarkan laporan itu dan sumber lain, dron kini mampu terbang sehingga 150 kilometer sejam, berbanding sekitar 50 kilometer sejam pada 2016 ketika undang-undang sedia ada digubal.

Jarak penghantaran rakaman video juga meningkat kepada maksimum 10 kilometer, berbanding hanya 200 hingga 300 meter sebelum ini, manakala kapasiti muatan meningkat daripada antara 80 gram hingga lima kilogram kepada sehingga 30 kilogram.

Beberapa model dron juga dilaporkan dilengkapi senjata api dan mampu menahan hentakan akibat tembakan.

-- BERNAMA-KYODO

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504308