SUKAN

Sukan SEA: "Perjuangan Kita Belum Selesai" - CDM Nurul Huda

19/12/2025 09:22 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Kontinjen negara tidak berhasrat untuk memperlahankan aksi dalam Sukan SEA Thailand 2025 meskipun sudah mencapai sasaran 200 pingat.

Ketua Kontinjen (CDM) Nurul Huda Abdullah berkata kempen mereka belum tamat walaupun edisi ke-33 temasya dwitahunan itu akan menutup tirai di Stadium Nasional Rajamangala, di sini esok.

" … belum selesai lagi. Kita masih berjuang dan memberikan yang terbaik, kita tahu bahawa kita boleh mendapat lebih banyak pingat lagi, jadi kita lihat apa yang boleh kita capai sebenarnya," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Legenda renang negara itu berkata pencapaian berkenaan ialah hasil usaha kolektif yang melibatkan bukan sahaja atlet, tetapi juga membabitkan pengurus pasukan, persatuan sukan kebangsaan dan badan sukan utama yang telah bekerjasama rapat sepanjang temasya berlangsung.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas sokongan dan kepercayaan berterusan terhadap aspek sukan negara sepanjang menerajui kementerian itu.

Nurul Huda berkata galakan dan keyakinan yang ditunjukkan Hannah memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu sukan Malaysia, dan mengucapkan semoga beliau maju jaya dalam portfolio baharu, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang dilantik dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Majlis OIimpik Malaysia Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap agar atlet terus fokus dan cuba membawa pulang pingat sebanyak mungkin, terutamanya emas, dari Thailand.

Setakat malam tadi, Malaysia mengumpul 204 pingat merangkumi 46 emas, 49 perak dan 109 gangsa.

Thailand kekal di tangga teratas dengan 197 emas, 130 perak dan 93 gangsa.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504351