JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Selangor Guna Kamera Badan, Tingkat Ketelusan Semasa Operasi Penguatkuasaan

19/12/2025 11:31 AM

KAJANG, 19 Dis (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mula melaksanakan pemakaian kamera badan (BWC) kepada anggota penguat kuasa Isnin lepas sebagai langkah strategik untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti semasa operasi penguatkuasaan di lapangan.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata rakaman visual dan audio melalui BWC berfungsi sebagai bahan sokongan bukti yang sah.

"Pemakaian BWC juga bertujuan melindungi anggota penguat kuasa daripada sebarang salah faham, tuduhan tidak berasas atau gangguan semasa menjalankan tugas," katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Khas Bersepadu JPJ Selangor di di Plaza Tol Sungai Ramal, malam tadi.

Selain itu, beliau berkata JPJ Selangor terus komited melaksanakan Operasi Perang Lebih Muatan yang berkuat kuasa dari 14 Okt hingga 31 Dis ini di seluruh negara.

Beliau berkata setakat Rabu lepas, 22 kenderaan lebih muatan ditahan dan 39,555 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebanyak 5,160 notis, diikuti tiada lesen memandu kompeten (CDL) (4,440), tiada insurans (3,492) dan tiada lesen vokasional (2,299).

"Penguatkuasaan bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya bagi mendidik serta memastikan semua pengendali dan pemilik kenderaan perdagangan mematuhi spesifikasi teknikal, had muatan dan standard keselamatan jalan raya demi kepentingan bersama," katanya.

Azrin berkata tindakan tegas akan terus diambil tanpa pengecualian terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan orang ramai diminta menyalurkan aduan berkaitan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan melalui aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my bagi tindakan lanjut.

Mengenai operasi malam tadi yang bermula pada 8 hingga 11.59 malam, beliau berkata sebanyak 45 individu diperiksa oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan lapan lelaki berumur lingkungan 30-an hingga 40-an disahkan positif dadah jenis methamphetamine serta ganja.

Antara ditahan ialah seorang pemandu e-panggilan berusia 47 tahun dan mengaku mengambil dadah sejak 2021 atas pengaruh rakan dengan kali terakhir mengambil barang terlarang itu kira-kira empat hari lepas.

Beliau berkata pada operasi itu, 2,185 kenderaan diperiksa dengan 301 daripadanya diambil tindakan, manakala 422 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya melibatkan CDL, LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran dan kesalahan teknikal lain.

Sebanyak tiga kereta dan 13 motosikal turut disita selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 21 saman atas pelbagai kesalahan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504386