Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini disebabkan oleh peningkatan paras stok.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata permintaan yang lemah daripada pembeli turut memberi kesan kepada sentimen pasaran.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,850 satu tan dan rintangan pada RM4,050,” katanya.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan Disember 2025 turun RM68 kepada RM3,892 satu tan metrik, Januari 2026 merosot RM70 kepada RM3,904 setan dan Februari 2026 berkurangan RM75 kepada RM3,905 satu tan.
Mac 2026 menguncup RM76 kepada RM3,911 setan, April 2026 merosot RM71 kepada RM3,916 satu tan dan Mei 2026 turun RM65 kepada RM3,914 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 81,381 lot daripada 70,597 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka menokok kepada 276,507 kontrak daripada 271,603 kontrak sebelumnya. Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan berkurangan RM50 kepada RM3,950 satu tan.
-- BERNAMA