SUKAN

Jelajah Dunia Akhir BWF : Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun Gagal Ke Separuh Akhir

20/12/2025 12:37 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) --Tiada wakil Malaysia dalam acara beregu lelaki di pusingan separuh akhir Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 selepas dua pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal melepasi peringkat kumpulan hari ini.

Pada aksi di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur tewas kepada pasangan India, Chirad Shetty-Satwiksairaj Rankireddy 21-17, 18-21, 15-21 dalam perlawanan yang mengambil masa satu jam 10 minit

Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik menamatkan saingan Kumpulan B di tempat ketiga.

Nasib sama turut dialami Wei Chong-Kai Wun yang tunduk kepada beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Sung Jae 25-23, 21-14, 19-21, sekali gus menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga.

Terdahulu, dua wakil negara berjaya melayakkan diri ke separuh akhir menerusi juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta pemenang pingat emas beregu wanita Sukan SEA Thailand, Pearly Tan-M Thinaah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504691