PASARAN

Bursa Malaysia Teruskan Momentum Pada Tengah Hari, Indeks Utama Naik 11.90 Mata

19/12/2025 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran peningkatannya pada tengah hari Jumaat, didorong aktiviti belian saham wajaran tinggi terpilih yang didahului oleh kaunter kewangan.

Momentum itu turut memacu sentimen pasaran selain prestasi pengukuhan pasaran serantau lain.

Setakat 12.30 tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 11.90 mata atau 0.72 peratus kepada 1,658.80 daripada penutupan semalam pada 1,646.90.

Indeks penanda aras itu dibuka dibuka menokok 1.15 mata pada 1,648.05 dan bergerak dalam julat 1,647.60 hingga 1,659.53 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 539 berbanding 386 manakala 512 kaunter tidak berubah, 1,341 tidak didagangkan, dan 16 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.64 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 0.65 peratus kepada 25,663.41, Indeks Nikkei 225 Jepun naik 1.14 peratus kepada 49,559.22, Indeks Kospi Korea Selatan menokok 1.04 peratus kepada 4,035.91 dan Indeks Straits Times Singapura menambah 0.13 peratus kepada 4,576.63.

Firma pembrokeran, Malacca Securities Sdn Bhd berkata impak limpahan positif serta aktiviti memperelok akaun berterusan dijangka mengekalkan indeks penanda aras pada kedudukan lebih kukuh hari ini.

Dalam pada itu, perdagangan Malaysia terus mencatat prestasi yang lebih baik pada November 2025 dengan jumlah dagangan meningkat 11.1 peratus tahun ke tahun kepada RM263.8 bilion daripada RM237 bilion pada November 2024.

Saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat 12 sen kepada RM10.42, Public Bank naik lima sen kepada RM4.46, CIMB meraih 17 sen kepada RM8.05, Tenaga Nasional untung empat sen kepada RM13.34 manakala IHH Healthcare menokok dua sen kepada RM8.52.

Bagi kaunter paling aktif, Borneo Oil meraih setengah sen kepada satu sen, Tanco dan Magma masing-masing tidak berubah pada RM1.13 dan 36 sen, V.S Industry dan Zetrix AI pula susut setengah sen kepada 49 sen dan 81.5 sen.

Selain itu, kaunter paling untung didahului oleh Nestle yang melonjak 90 sen kepada RM116.80, Fraser & Neave meraih 38 sen kepada RM35.98, Malaysian Pacific Industries naik 34 sen kepada RM32.34, PPB menokok 32 sen kepada RM10.62 manakala Kuala Lumpur Kepong menambah 30 sen kepada RM20.

Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan Hong Leong Industries turun 20 sen kepada RM16.10, Sunway Construction susut 15 sen kepada RM5.51 dan United Plantations berkurangan 12 sen kepada RM29.60 manakala Press Metal Aluminium dan Master-Pack masing-masing rugi satu sen kepada RM6.90 dan RM1.90.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 71.88 mata kepada 12,189.37, Indeks FBMT 100 menokok 75.08 mata kepada 11,984.74, Indeks FBM ACE meraih 43.07 mata kepada 4,822.06, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 31.25 mata kepada 12,008.49 manakala Indeks FBM 70 memperoleh 56.83 mata kepada 16,772.48.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 67.88 mata kepada 8,302.79, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 248.45 mata kepada 19,403.50 manakala Indeks Tenaga susut 0.59 mata kepada 764.28 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.95 mata kepada 169.96.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504483