SUKAN

Sukan SEA: Rui Jie-Nurqayyum Terjun Emas, Malaysia Tutup Kempen Dengan Cemerlang

19/12/2025 09:09 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Kem terjun negara menunggu sehingga ke hari terakhir pertandingan untuk mengesahkan semula status mereka sebagai kuasa besar Sukan SEA apabila menamatkan kempen 2025 di Thailand dengan dua pingat emas dan satu gangsa hari ini.

Gandingan penerjun muda negara Yong Rui Jie-Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim tampil cemerlang tepat pada masanya apabila mempamerkan aksi kemas dan tenang untuk mengutip emas dalam acara tiga meter (m) papan anjal seirama lelaki di Pusat Akuatik Universiti Assumption, Kampus Suvarnabhumi di Samut Prakan.

Pasangan Malaysia itu menampilkan aksi konsisten sepanjang enam pusingan terjunan, mengumpul jumlah mata mengagumkan, iaitu 359.85 untuk kekal selesa mendahului pesaing lain.

Gandingan Thailand Chawanwat Juntaphadawon-Thitipoom Marksin berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 335.70 mata manakala pasangan Vietnam Hoang Tu Dang-Anh Tuan Dinh meraih gangsa dengan 322.35 mata.

Rui Jie yang ditemui selepas majlis penyampaian pingat berkata beliau lega dapat menebus kekecewaan selepas menamatkan saingan dengan pingat gangsa dalam acara satu meter papan anjal lelaki pada Rabu lepas.

“Ini pastinya 100 peratus menebus apa yang berlaku Rabu lepas. Walaupun menghadapi tekanan, namun akhirnya kami berjaya membuktikannya,” katanya.

Sementara itu, Nurqayyum yang memuji Rui Jie kerana memainkan peranan penting dalam membantu beliau kekal tenang sepanjang pertandingan itu berkata jaminan daripada pasangannya itu memberikan ketenangan sebelum naik ke papan anjal.

“Kami sangat gembira tetapi kami pasti akan melakukan yang lebih baik pada Sukan SEA akan datang di Malaysia,” katanya.

Selepas bermula hambar pada Sukan SEA 2025, Malaysia akhirnya meraih pingat emas pertama hasil persembahan cemerlang Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi dalam acara 10m platform seirama wanita awal hari ini.

Dengan keputusan hari ini, Malaysia mendahului acara terjun apabila meraih dua daripada empat pingat emas yang dipertandingkan pada edisi ke-33 temasya dwitahunan itu.

Singapura berada di tempat kedua dengan satu emas, dua perak dan satu gangsa, diikuti Thailand (1-2-0), Vietnam (0-0-1) dan Indonesia (0-0-1).

Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504635