BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Skuad ekuestrian polo negara meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025 selepas menewaskan tuan rumah Thailand 10-6.5 dalam perlawanan penentuan pingat emas kategori 4-6 Gol di VS Sports Club & Siam Polo Park, Samut Prakan hari ini.
Skuad negara dibarisi Putera Sultan Pahang Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah, Abdul Rashid Hasnan, Muhammad Edham Haji Shaharuddin, Azfar Mustapha, Mohd Zulhelmi Nadzar dan Amran Selamat.
Malaysia ketinggalan pada chukka pertama dan kedua 3-3.5 sebelum bangkit pada chukka seterusnya untuk memenangi pingat emas kategori berkenaan, yang kali terakhir dimenangi pada edisi 2019 di Filipina.
Terdahulu, Malaysia mengesahkan kemaraan ke final selepas menewaskan Brunei 9-5.5 dalam aksi separuh akhir.
Pingat emas itu adalah satu-satunya emas disumbangkan kem ekuestrian polo negara pada temasya berkenaan, selepas meraih pingat gangsa dengan menewaskan Filipina 7-3.5 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga kategori 2-4 Gol.
-- BERNAMA