SUKAN

Sukan SEA 2025: Prestasi Cemerlang Skuad Pecut Berbasikal Trek Negara Petanda Positif - Jefri

20/12/2025 06:09 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 20 Dis (Bernama) -- Prestasi cemerlang dilakar barisan pelumba pecut berbasikal trek negara pada Sukan SEA Thailand 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini, memberi petanda bahawa mereka mampu menyinar pada peringkat tertinggi termasuk Sukan Olimpik kelak.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin berkata beliau sememangnya kagum dengan kayuhan bertenaga dihasilkan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Mohamad Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Ridwan Sahrom, yang bukan sahaja menyambar emas malah memecahkan rekod kebangsaan pecut berpasukan lelaki dengan catatan baharu 1 minit 0.520 saat (s).

Mereka yang menewaskan trio Thailand di Velodrom Hua Mark, memadam rekod lama 1:02.077s yang dipegang jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Muhammad Edrus Md Yunos pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

“Saya rasa kita mempunyai peluang yang sangat cerah (Sukan Olimpik) dan kita sudah pun melahirkan pelapis untuk menggantikan barisan pelumba sedia ada.

“Jadi ini satu indikator yang sangat penting untuk kita,” katanya pada sidang media rumusan prestasi kontinjen negara pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, hari ini.

Skuad berbasikal trek secara keseluruhan menamatkan kempen kali ini dengan empat pingat emas dan satu perak.

Dalam pada itu, Jefri berkata terdapat peningkatan prestasi atlet dalam dua sukan yang menawarkan pingat paling banyak di Sukan Olimpik iaitu olahraga dan renang pada Sukan SEA kali ini.

Beliau berkata olahraga mampu menambah koleksi lima emas dibawa pulang mereka dari Thailand, termasuk sekiranya jaguh lompat kijang negara Andre Anura Anuar berjaya pada lompatan terakhir di Sukan SEA, sebelum impian emas hatriknya diragut wakil Vietnam Ho Trong Manh Hung.

Biarpun kem renang negara memungut dua emas, tiga perak dan lima gangsa namun barisan perenang negara menampilkan persembahan memberangsangkan, dengan lima rekod kebangsaan dipecahkan termasuk dari perenang muda iaitu Tong Yu Jing.

Perenang berusia 19 tahun itu mencatat masa 22.48 saat (s), sekali gus memadam rekod kebangsaan 50 meter (m) gaya bebas lelaki sebelum ini iaitu 22.91s, dilakukan oleh Bryan Leong di United Kingdom pada Mei tahun lepas.

“Saya rasa kita mempunyai peluang untuk meningkatkan peluang kita pada 2027 untuk menang lebih banyak pingat emas dalam acara renang.

“Tentunya kita tidak akan dapat kalahkan Singapura, tetapi kita berharap kita dapat meningkatkan jumlah pingat kita dari sekarang sehingga ke Sukan SEA yang akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504865