PAITAN, 20 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) akan memperhebat usaha menyediakan lebih banyak kemudahan Internet kepada sekolah-sekolah di negeri berkenaan terutama di sekolah luar bandar dan pedalaman bermula tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata tumpuan khusus diberikan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih belum menikmati kemudahan berkenaan bagi memastikan tiada murid atau pelajar tercicir daripada arus pendidikan digital sejajar perkembangan semasa.
“Kami tidak mahu lagi ada murid atau pelajar yang berdepan kesukaran mendapatkan akses Internet. Usaha ini akan diteruskan dan diperluaskan daripada semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu Peringkat Daerah Paitan di sini hari ini.
Beliau berkata sepanjang tahun ini sahaja, kira-kira 300 sekolah di seluruh Sabah dilengkapi dengan peranti satelit Starlink bagi memudahkan capaian Internet serta menyokong proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata kemudahan Starlink bukan sahaja penting di sekolah, malah perlu diperluaskan kepada komuniti setempat melalui inisiatif e-Desa, khususnya di kampung-kampung yang masih tidak mempunyai liputan Internet.
Sementara itu, beliau memberitahu kawasan Sugut yang disenaraikan antara 10 kawasan termiskin di negara ini menjadi antara keutamaan beliau untuk dibangunkan dan dibawa keluar daripada garis kemiskinan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua pihak supaya berganding bahu bagi memastikan daerah Paitan dan kawasan Sugut terus maju seiring dengan arus pembangunan semasa demi kesejahteraan penduduk setempat.
James ketika menyentuh mengenai majlis berkenaan menyifatkan sambutan perayaan melibatkan pelbagai kaum dan agama di Sabah terus menjadi platform penting dalam memupuk nilai keharmonian, perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA