KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Dua pasukan bola jaring Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) masing-masing merangkul tempat kedua dan ketiga pada pertandingan bola jaring antara media sempena Karnival Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 hari ini manakala tempat pertama dimenangi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Juara pertandingan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala dan pingat; naib juara menerima RM2,000 dan pingat manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing mendapat RM1,000 dan RM500 serta pingat.
Sebanyak lima pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan bola jaring yang diadakan di IWK Eco Park, Pantai Dalam, iaitu dua daripada Bernama dan masing-masing satu RTM, Sinar Harian serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz.
Sementara itu, bagi pertandingan bola sepak yang disertai 12 pasukan, Media Perak muncul juara, diikuti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di tempat kedua, FINAS ketiga dan pasukan Bernama (B) di tempat keempat.
Juara bola sepak membawa pulang RM3,000, pingat dan piala; naib juara RM2,000 serta pingat; tempat ketiga RM1,000 dan pingat manakala tempat keempat menerima RM800 dan piala.
Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak terdiri daripada dua pasukan Bernama, The Sun, Media Prima, FINAS, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), DBP, Astro Awani, RTM, Media Elite Kedah, Media Perak dan pasukan media HAWANA.
Ketua pasukan bola jaring RTM Aireen Rosli berkata kejayaan muncul juara amat bermakna buat pasukan itu memandangkan ia adalah penyertaan sulung mereka dalam karnival berkenaan.
"Penganjuran karnival sukan ini menarik kerana memberi ruang kepada warga media untuk meluangkan masa bersukan di samping mengeratkan hubungan serta berinteraksi dengan rakan-rakan media daripada pelbagai agensi.
Sementara itu, pengurus pasukan Media Perak Razif Rosli berkata pasukannya yang pernah menduduki tempat kedua tahun lepas, kembali tahun ini dengan misi untuk menjadi juara selain menyifatkan karnival berkenaan dapat merapatkan hubungan dalam kalangan warga media.
“Tahun ini, kami datang sekali lagi dengan satu misi, iaitu untuk muncul juara dan alhamdulillah hasrat itu tercapai hari ini,” katanya yang juga wartawan sambilan Biro Perak Bernama.
Program anjuran Bernama sempena HAWANA 2025 itu dimulakan dengan pertandingan boling pada 14 Dis di Wangsa Bowl, One Utama diikuti acara bola sepak dan bola jaring hari ini dan esok ia diteruskan dengan acara permainan tradisional di lokasi sama.
-- BERNAMA