JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Rampas 245 Ekor Haiwan Dilindungi Di Batu Pahat

20/12/2025 06:24 PM

BATU PAHAT, 20 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sejumlah 245 ekor hidupan liar yang dilindungi dalam operasi bersepadu bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), di sebuah kelong, di perairan Batu Pahat malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata rampasan berkenaan dilakukan kira-kira 10.30 malam di sebuah kelong di Sungai Ayam dengan kedudukan 1.2 batu nautika Barat Daya Sungai Suloh.

Beliau berkata hasil pemeriksaan pihaknya di kelong terbabit menemukan sejumlah 245 ekor haiwan dipercayai dilindungi terdiri daripada 234 burung Murai Kampung, 10 ular sawa dan seekor monyet.

“Kegiatan ini disyaki telah melanggar peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Kesemua hidupan liar yang diselamatkan ini telah dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri Johor untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Zon Maritim Batu Pahat menegaskan komitmen dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan serta pemerdagangan hidupan liar dan akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain demi memelihara khazanah biodiversiti negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504878