KUANTAN, 20 Dis (Bernama) -- Bekalan tenaga elektrik di kawasan yang terjejas akibat banjir di sekitar Kuantan telah pulih sepenuhnya.
Tenaga Nasional Berhad dalam hantaran menerusi media sosial turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggan yang terlibat atas kerjasama yang diberi sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan bekalan dijalankan.
“Kesabaran anda amat dihargai,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, TNB memaklumkan pada peringkat awal, enam hingga lapan pencawang terpaksa ditutup susulan kejadian banjir sejak 17 Dis lepas yang melibatkan kawasan Sri Damai, Inderapura, Mat Kilau dan Taman Guru.
Hantaran itu turut memaklumkan jumlah pencawang terjejas bagaimanapun semakin berkurang, dan setakat 11 malam semalam, hanya pencawang Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) masih belum menerima bekalan elektrik sepenuhnya.
-- BERNAMA