JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai, Anggota IPD Kubang Pasu Cedera Kemalangan

20/12/2025 07:14 PM

IPOH, 20 Dis (Bernama) -- Seorang pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Kedah cedera selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 212.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Taiping, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Nasir Ismail berkata kejadian berlaku pada 7.50 pagi apabila lori dinaiki lelaki berusia 33 serta 32 tahun dari Johor ke Parit Buntar, Perak terbabas dan melanggar kenderaan polis jenis Honda City.

“Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 25 tahun dan penumpang 44 tahun cedera pada bahagian kepala dan badan dengan mereka dibawa ke sebuah hospital swasta di Taiping untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nasir berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat kejadian membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor V. Gunalan menerusi talian 012- 6273 761.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2504893