Oleh LInda Khoo
SEOGWIPO (Pulau Jeju, Korea Selatan), 21 Dis (Bernama) -- Sambil bersiar-siar di Laluan 8 Denai Jeju Olle, pengunjung seolah-olah melangkah ke dalam galeri hidup yang memaparkan keakraban persahabatan antara ASEAN dan Korea Selatan.
Laluan sepanjang 19.6 kilometer di selatan Jeju ini menyatukan alam semula jadi, warisan dan hubungan sesama insan, dengan setiap langkah mencerminkan jalinan hubungan yang semakin erat di rantau ini.
Dinamakan semula sebagai Denai ASEAN - Korea Olle pada November 2024 bagi meraikan ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-Korea Selatan, laluan ini merupakan sebahagian daripada rangkaian Denai Jeju Olle yang merangkumi 27 laluan pesisir pantai serta pedalaman sepanjang 437 kilometer, menawarkan pengembara suatu perjalanan menerusi landskap Jeju yang dramatik dan hubungan serantau yang berkembang.
Menambah lagi daya tarikannya, bangku peringatan yang mewakili 10 negara anggota ASEAN ditempatkan di sepanjang denai berkenaan bagi menyerlahkan warisan bersama serta kemesraan hubungan dua hala yang kian berkembang.
Dalam dialek Jeju, "Olle" merujuk kepada lorong pejalan kaki sempit yang menghubungkan rumah ke jalan utama, melambangkan asal-usul denai itu dari perkampungan kecil sebelum berkembang menjadi satu daripada tarikan utama di Jeju.
Diterajui oleh Pusat ASEAN-Korea (AKC) dengan kerjasama Wilayah Autonomi Khas Jeju dan Yayasan Jeju Olle, denai ini mencerminkan komitmen rantau ini terhadap pertukaran budaya dan kesalinghubungan rakyat.
Bangku-bangku berkenaan, yang disusun mengikut urutan abjad, menggunakan logo "AK" dan diperbuat daripada konkrit khas bagi mendepani keadaan cuaca di pesisir pantai Jeju. Setiap perhentian turut ditandai dengan "Ganse" - bangku berbentuk ikon kuda padi Jeju yang sinonim dengan denai itu - yang menyediakan maklumat mengenai negara ASEAN berkaitan.
Buat masa ini, bangku bagi Timor-Leste dijangka akan dipasang pada peringkat kemudian, tertakluk kepada penyertaan negara itu ke dalam AKC.
Kesemua bangku ditempatkan di lokasi yang mempunyai kepentingan budaya atau sejarah.
Sebagai contoh, bangku Malaysia terletak berlatarbelakangkan panorama Pantai Jungmun Saekdal, menawarkan pemandangan menarik sepanjang laluan itu manakala bangku Myanmar terletak bersebelahan kubu purba Hwanhae Jangseong yang diperbuat daripada batu gunung berapi bersedia untuk menghadapi ancaman dari laut.
Bercakap mengenai kepentingan inisiatif ini, Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata Denai Olle ini mencerminkan perkongsian ASEAN-Korea Selatan yang semakin mendalam.
"Hubungan kukuh ini dicerminkan melalui laluan denai ini, menghubungkan alam semula jadi dengan manusia serta memperkukuh persahabatan melalui perdagangan, pelaburan dan hubungan sesama rakyat," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata inisiatif itu menggalakkan pelancong Korea dan antarabangsa untuk meneroka kepelbagaian budaya Asia Tenggara, termasuk Malaysia.
“Dengan menyediakan maklumat yang mudah diakses di sepanjang denai , inisiatif ini menyasarkan untuk merangsang pelancongan dan mengukuhkan pertukaran budaya antara rantau.
Mohd Zamruni berkata Denai ASEAN-Korea Olle menawarkan pengalaman yang mencabar tetapi memberikan kepuasan, disokong dengan ciri budaya seperti kod respons pantas yang menghubungkan maklumat mengenai negara ASEAN dan aktiviti pengumpulan setem pada permulaan, pertengahan dan di akhir laluan itu.
Setem berkenaan memaparkan mercu tanda ikonik negara seperti Menara Berkembar Petronas bagi Malaysia atau Merlion bagi Singapura, katanya.
Terletak berhampiran denai itu, Dewan ASEAN Jeju turut memperkayakan pengalaman pengunjung melalui Sudut Budaya dan Buku ASEAN, selain pameran kraf tangan serta pakaian tradisional setiap negara peserta yang selanjutnya memberikan pengalaman budaya yang mendalam kepada pengunjung.
Sementara itu, Setiausaha Agung AKC Kim Jae-shin menyifatkan ASEAN-Korea Olle sebagai mercu tanda simbolik di mana persahabatan antara Korea Selatan dan ASEAN menjadi "hidup" dalam landskap semula jadi Jeju.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Jeju Olle, Ahn Eun-joo pula memerhatikan peningkatan jumlah pelancong ASEAN, terutamanya wanita berusia 30-an dan 40-an dari Malaysia dan Singapura yang berhasrat melengkapkan perjalanan 100 kilometer merentasi laluan Jeju Olle.
"Saya berharap bangku-bangku ini akan menjadi simbol perjalanan itu - dan sebagai tempat rehat yang selesa yang menghubungkan Jeju dan ASEAN," katanya.
-- BERNAMA